Levy Mwanawasa

Levy Mwanawasa
Levy Mwanawasa pada 16 Mac 2006
Presiden Zambia ke-3
Dalam jawatan
2 Januari 2002 – 19 Ogos 2008
Didahului olehFrederick Chiluba
Butiran peribadi
Lahir(1948-09-03)3 September 1948
Mufulira, Zambia
Meninggal dunia19 Ogos 2008(2008-08-19) (umur 59)
KerakyatanZambia
Parti politikGerakan Demokrasi Pelbagai Parti
PasanganMaureen Mwanawasa
ProfesionPeguam

Levy Patrick Mwanawasa (3 September 1948 – 19 Ogos 2008) ialah presiden Zambia yang ketiga sejak tahun 2002 sehingga tahun 2008.


Kehidupan awal

Dilahirkan di Mufulira sebagai anak kedua antara 10 adik-beradik, Mwanawasa memegang ijazah Sarjana Muda dalam Undang-undang daripada Universiti Zambia. Beliau bekerja di firma-firma guaman dari tahun 1974 sehingga tahun 1978 apabila beliau membuka firmanya sendiri, Mwanawasa & Rakan-rakan. Pada tahun 1985, Mwanawasa berkhidmat sebagai Peguam Cara Negara Republik Zambia tetapi kembali ke firma guamannya pada tahun berikutnya. Beliau telah dinamakan sebagai Timbalan Presiden Zambia pada bulan Disember 1991 oleh Presiden Frederick Chiluba, presiden yang baru dilantik, dan meninggalkan firma guamannya pada bulan Mac 1992.

Pada 8 Disember 1991, Mwanawasa terlibat dalam sebuah kemalangan lalu lintas yang teruk yang mengakibatkan pembantunya maut dengan serta merta. Beliau mengalami berbagai-bagai kecederaan dan diterbangkan ke Johannesburg, Afrika Selatan untuk rawatan perubatan dan tinggal di hospital selama tiga bulan. Salah satu kesan kemalangan yang kekal dan ketara ialah pertuturannya yang tidak jelas.

Mwanawasa berkhidmat sebagai Naib Presiden Zambia sehingga perletakan jawatannya pada tahun 1994, kerana apa yang dikatakannya penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah oleh sesetengah pemimpin serta keingkaran sesetengah rakan sekerja. Pada tahun 1996, beliau bertanding dengan Chiluba untuk kepresidenan partinya, Gerakan untuk Demokrasi Berbilang Parti (MMD), tetapi ditewaskan. Beliau bersara daripada politik aktif sejak dari masa itu.

Naik ke kepresidenan

Pada bulan Ogos 2000, Jawatankuasa Eksekutif Nasional MMD memilih Mwanawasa sebagai calon presiden untuk pilihan raya umum pada 27 Disember 2001. Beliau memenangi pilihan raya itu, walaupun dengan hanya 29% jumlah undi, kerana sistem Zambia yang mengisytiharkan sesiapa yang memperoleh undi majoriti sebagai pemenang (bahasa Inggeris: First-Past-The-Post-System). Bagaimanapun, beliau menewaskan 10 calon yang lain, termasuk dua orang bekas naib presiden, iaitu Godfrey Miyanda, dan Jen. Christon Tembo. Keputusan Anderson Mazoka hampir mendekatinya dengan undi sebanyak 27%, menurut keputusan rasmi.

Mwanawasa menjawat Presiden Zambia pada 2 Januari 2002. Bagaimanapun, keputusan pilihan raya dipertikaikan oleh parti-parti pembangkang yang utama, termasuk Parti Bersatu untuk Pembangunan Negara, iaitu parti Mazoka. Banyak pemerhati mendakwa bahawa Mazokalah yang memenangi pilihan raya tersebut. Bagaimanapun, sebuah petisyen mahkamah untuk membatalkan keputusan pilihan raya atas alasan perkara-perkara yang tidak kena ditewaskan di bawah keadaan-keadaan yang penuh dengan perbalahan.

Pada bulan Januari 2005, Mwanawasa meminta maaf kepada negara kerana gagal mengatasi masalah kemiskinan Zambia. Lebih kurang 75% daripada penduduk-penduduk negara hidup dengan kurang daripada AS$1 sehari, penunjuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk kemiskinan mutlak.

Mwanawasa bertanding untuk penggal kedua dalam pilihan raya presiden yang diadakan pada 28 September 2006, dengan Michael Sata dianggap sebagai pencabarnya yang utama. Pemilihan semulanya disahkan pada 2 Oktober, dengan keputusan rasmi menunjukkan bahawa beliau menerima 43% daripada jumlah undi.

Mwanawasa kini berkahwin dengan Maureen Mwanawasa dan mereka dikurniakan empat orang anak, iaitu Chipokota, Matolo, Lubona, dan Ntembe. Beliau juga mempunyai dua orang anak yang lain (Miriam dan Patrick) daripada perkahwinannya yang pertama. Isterinya ialah ahli terbaptis Saksi-saksi Jehovah, tetapi kini telah disingkirkan.

Tahap kesihatan

Pada tahun 2006, Mwanawasa dilaporkan mengalami angin ahmar ringan.[1]

Kemudian pada 29 Jun 2008, semasa di Sharm el-Sheikh, Mesir, untuk persidangan Kesatuan Afrika, Mwanawasa sekali lagi dimasukkan ke hospital akibat angin ahmar. Pada 1 Julai, beliau diterbangkan ke Perancis untuk rawatan susulan.[1][2] Pihak pengurusan hospital di Mesir di mana beliau dirawat memberitahu bahawa beliau berada dalam keadaan separuh koma.[2] Naib Presiden Banda berkata keadaan beliau kembali stabil, manakala Menteri Penerangan Mike Mulongoti memaklumkan bahawa sebelum ini Mwanawasa pernah mengalami penyakit darah tinggi; Mulongoti juga menegaskan bahawa Mwanawasa adalah "seorang yang sangat rajin" dan mengatakan ia mungkin menjadi faktor utama masalah kesihatannya.[3]

Semasa Mwanawasa dirawat, Banda menjadi Pemangku Presiden.[3]

Kematian

Naib Presiden Banda berkata pada 18 Ogos keadaan Mwanawasa tiba-tiba menjadi kritikal serta memerlukan bantuan perubatan segera. Bantuan tersebut telah berjaya, menurut Banda, tetapi Mwanawasa kekal dalam keadaan serius.[4] Pada 19 Ogos, seorang ahli keluarga yang enggan dikenali menyatakan Mwanawasa sudah meninggal dunia pada pagi tersebut. Berita kematian Mwanawasa telah disahkan oleh Banda melalui siaran televisyen di Perbadanan Penyiaran Kebangsaan Zambia (ZNBC) milik kerajaan.[perlu rujukan] Beliau memaklumkan bahawa Mwanawasa meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan (4.30 petang waktu Malaysia) di Hospital Tentera Percy di Paris. Banda mengumumkan tempoh berkabung kebangsaan selama tujuh hari dan menggesa rakyat Zambia supaya "bertenang dan berkabung atas kematian Presiden kami dengan penuh rasa hormat".[5]

Sebuah pilihan raya kecil bagi melantik presiden baru akan diadakan dalam tempoh 90 hari.

Rujukan

  1. ^ a b "Ailing Mwanawasa heading to France", Reuters (IOL), July 2, 2008.
  2. ^ a b "'Mwanawasa in semi-coma'", Sapa-Associated Press (IOL), July 2, 2008.
  3. ^ a b James Butty, "Zambian President Has Had a History of Hypertension, Says Information Minister", VOA News, July 2, 2008.
  4. ^ "UPDATE REPORT ON THE CONDITION OF HIS EXCELLENCY THE PRESIDENT, DR LEVY P MWANAWASA, SC", Zambian Presidency website, 18 August 2008.
  5. ^ "STATEMENT BY HIS HONOUR THE VICE PRESIDENT, MR. RUPIAH BANDA, MP., ON THE DEATH OF THE PRESIDENT", Zambian Presidency website, 18 August 2008.

Pautan luar

Didahului oleh
Frederick Chiluba
Presiden Zambia
2 Januari 2002–kini
Diikuti oleh:
Penyandang
  • l
  • b
  • s
* Pemangku presiden