Zoo Melaka

Koordinat: 2°16′40″N 102°18′6″E / 2.27778°N 102.30167°E / 2.27778; 102.30167

Zoo Melaka & Taman Burung
زو ملاک & تامن بوروڠ
Pintu masuk utama Zoo Melaka sewaktu penswastaan 2013-2018
Tarikh dibuka19 Julai 1964[1]
(sebagai Taman Binatang Melaka[2])
13 Ogos 1987[3]
(sebagai Zoo Melaka)
LokasiAyer Keroh, Melaka
Malaysia Malaysia
Kawasan tanah54 ekar (22 he)
No. haiwan673 (setakat 2021)[4]
No. spesies121 (setakat 2021)[4]
KeahlianISO 9001:2000, SEAZA[5], MAZPA[6]
PemilikMajlis Perbandaran Hang Tuah Jaya
Laman sesawangwww.zoomelaka.gov.my
Map

Zoo Melaka & Taman Burung (disingkatkan sebagai Zoo Melaka) ialah sebuah fasiliti di mana pelbagai spesis flora dan fauna ditempatkan bagi tujuan pendedahan dan pendidikan kepada orang ramai dan menjadi tempat konservatif sama ada dibiakkan untuk tujuan pemuliharaan[7][8] atau perlindungan hidupan liar terutamanya spesis yang hampir pupus. Zoo ini berkeluasan 54 ekar serta bersempadan dengan Taman Botanikal Melaka di bahagian utara, Tasik Ayer Keroh dan padang golf milik Ayer Keroh Golf & Country Club di bahagian selatan, kawasan hutan di bahagian barat dan muzium Malaysia Heritage Studios (dulu dikenali dengan nama Taman Mini Malaysia dan ASEAN[9]) di bahagian timur[10]. Zoo Melaka diiktiraf sebagai zoo kedua terbesar di Malaysia serta merupakan tarikan pelancongan rekreasi paling tertua di negeri Melaka[11].

Setakat Januari 2024, terdapat lebih daripada 1,200 ekor haiwan daripada 214 spesis berada di dalam zoo ini di mana kebanyakkan haiwan berasal dari kawasan Asia Tenggara, Afrika dan Australia[12]. Antara spesis haiwan yang berjaya dibiakkan di Zoo Melaka seperti Beruang Matahari (Helarctos malayanus)[13] dan Ungka Tangan Putih (Hylobates lar)[14]. Selain itu, zoo ini juga pernah dijadikan sebagai lokasi rintis pembiakan spesis Harimau Malaya pada tahun 2022[15].

Kerajaan Negeri Melaka bertindak sebagai pemilik dan menguruskan operasi Zoo Melaka ketika ianya dibuka sebagai Taman Binatang Melaka pada tahun 1964[16]. Pada tahun 1979, pengurusan Zoo Melaka telah diambil alih oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) daripada Kerajaan Negeri Melaka[3].

Pada 1 Januari 2013, pengurusan Zoo Melaka dikendalikan oleh syarikat swasta, Konsortium KKW Sdn. Bhd. dan dijenamakan kepada Zoo Melaka dan Safari Night[17], namun pada 1 Oktober 2018, ianya telah berpindah milik kembali kepada kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ)[18]. Zoo Melaka dipilih antara lokasi pelancongan pada waktu tengah malam menerusi program Tahun Melawat Melaka 2024, di mana waktu operasi zoo dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi[19].


Sejarah

Ketua Menteri Melaka pada ketika itu, Abdul Ghafar bin Baba mengemukakan cadangan mengenai pembinaan sebuah zoo di kawasan Ayer Keroh pada tahun 1962 bertujuan untuk menarik pelancong untuk datang ke Melaka[20]. Pembinaan Zoo Melaka telah bermula sekitar Ogos 1962 di atas tapak tanah hutan berkeluasan 12 ekar[21] dan merupakan sebahagian daripada rancangan pembinaan kawasan taman rekreasi di Ayer Keroh[22]. Pada awalnya, kos pembinaan zoo mencecah $97,000[23] (dalam dolar Malaya). Pada 19 Julai 1964[1], pembukaan Zoo Melaka juga dikenali sebagai Taman Binatang Melaka telah dirasmikan oleh Gabenor Melaka pada ketika itu, Tun Haji Abdul Malek bin Haji Yusuf[20][2]. Sebanyak $97,615 telah dibelanjakan untuk membawa masuk spesis haiwan dan burung serta penggajian pekerja zoo dari tahun 1962 sehingga tahun 1964[1]. Pengurusan Zoo Melaka atau Taman Binatang Melaka adalah dibawah Kerajaan Negeri Melaka[16] dengan sebuah jawatankuasa Zoo Melaka telah dibentuk yang dipengerusikan oleh Datuk Tan Cheng Swee[1].

Jambatan Zoo Melaka di atas sebahagian daripada Tasik Ayer Keroh.

Pada bulan Oktober 1988, Zoo Melaka ditutup selama dua minggu kerana berlakunya kes keracunan Salmonella yang menyebabkan dua ekor kuda dari baka Australia dan seekor badak Sumatera betina mati[24]. Pengurusan zoo pada ketika itu percaya bahawa bakteria Salmonella yang menyebabkan berlakunya keracunan datang daripada air di sekitar Tasik Ayer Keroh yang digunakan untuk membersihkan kandang dan dijadikan sebagai air minuman kepada haiwan di situ[25]. Selepas insiden itu, Zoo Melaka tidak lagi menggunakan air dari tasik, sebaliknya mula menggunakan bekalan air paip[24].

Bermula 4 Jun 2004, pengurusan Zoo Melaka memperkenalkan program zoo malam yang membolehkan pengunjung melihat sendiri bagaimana pergerakan haiwan nokturnal iaitu haiwan yang aktif pada waktu malam seperti badak dan harimau[26]. Di awal pengenalannya, program zoo malam ini dibuka sebanyak dua hari seminggu iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu bermula pada pukul 8 malam sehingga 11.30 malam[26].

Sejak Zoo Melaka dibuka semula pada tahun 1993, zoo ini tidak pernah mencatatkan keuntungan bersih[27]. Namun, ia berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM130,000 pada tahun 2007, hasil daripada jumlah kunjungan seramai 619,914 orang direkodkan dengan pendapatan keseluruhan sebanyak RM3.99 juta[27]. Selain itu, pengurusan zoo mengamalkan langkah penjimatan utiliti seperti bekalan elektrik dan air serta mempertingkatkan promosi zoo bagi menarik kehadiran pengunjung[27].

Pintu masuk ke Zoo Melaka sebelum diswastakan.

Pada 1 Januari 2013, pengurusan Zoo Melaka secara rasminya berpindah milik kepada Kerajaan Negeri Melaka daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang menguruskan operasi zoo sejak tahun 1979[28]. Walaupun begitu, terdapat kontroversi berkaitan proses pindah milik apabila berlaku pencanggahan di antara jumlah sebenar haiwan di dalam zoo yang berkurangan sebanyak 230 ekor haiwan[29] berbanding jumlah aset yang direkodkan PERHILITAN[29]. Dakwaan ini bagaimanapun disangkal PERHILITAN yang mengatakan bahawa 230 ekor haiwan itu telah dipindahkan ke pusat hidupan liar di bawah seliaan PERHILITAN kerana haiwan-haiwan tersebut merupakan aset kerajaan hasil serahan dari orang awam, diselamatkan atau dirampas[30].

Ketua Menteri Melaka pada ketika itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengumumkan pengurusan Zoo Melaka diswastakan kepada syarikat Konsortium KKW Sdn. Bhd. yang terdiri daripada Koperasi Bela Masyarakat Melaka Berhad (Kobemas), Koperasi Hang Tuah Jaya dan Malacca Wildlife[31] untuk tempoh selama 60 tahun[32]. Di bawah perjanjian penswastaan ini, pihak konsortium membayar kadar sewa sebanyak RM10,000 kepada MPHTJ[28] yang merupakan pemilik kepada Zoo Melaka serta penjenamaan semula Zoo Melaka yang dikenali sebagai Zoo Melaka & Safari Malam[17]. Disebabkan penswastaan ini, Zoo Melaka tidak lagi menerima subsidi sebanyak RM4 juta setahun dari kerajaan persekutuan dan pendapatan zoo hanya bergantung kepada hasil jualan tiket[31]. Majlis pelancaran Zoo Melaka & Safari Malam dengan pengurusan baharu telah diadakan pada 1 Februari 2013[28].

Pada 1 Oktober 2018, Kerajaan Negeri Melaka telah memutuskan untuk mengambil alih kembali pengurusan Zoo Melaka daripada syarikat Konsortium KKW Sdn. Bhd. berikutan pelanggaran perjanjian yang telah ditandatangani pada 31 Disember 2012 lalu[33]. Lawatan mengejut yang dilakukan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sebelum itu menyatakan bahawa tadbir urus Zoo Melaka agak terkebelakang berbanding pengurusan zoo di negara jiran[34]. Selain itu, beberapa aspek seperti pengurusan aset dan fasiliti, kebajikan haiwan dan keselamatan pengunjung amat perlu diberi perhatian pada ketika itu[34]. Semasa proses pengambilalihan, sebanyak 554 ekor haiwan yang telah direkodkan, berbanding dengan kira-kira 600 ekor haiwan direkodkan pada tahun 2015[33]. Proses pengambilalihan ini telah menyebabkan Zoo Melaka ditutup selama 2 minggu bagi membolehkan kerja-kerja berkaitan pengauditan dan pengemaskinian aset dapat dijalankan[35]. Bermula 2 Oktober 2018, pengurusan Zoo Melaka diletakkan di bawah Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ)[35].


Pameran dan tarikan

Taman Dinosaur Encounter

Pintu masuk ke Taman Dinosaur Encounter.

Taman Tema Dinosaur Encounter merupakan sebuah taman mini di dalam Zoo Melaka yang mempamerkan sebanyak 100 spesis dinosaur daripada 11 keluarga berbeza[36]. Dinosaur-dinosaur ini dipersembahkan dalam bentuk robotik serta menggunakan teknologi realiti terimbuh (AR)[37] bagi membolehkan dinosaur ini nampak seperti "hidup"[38]. Pada 25 Disember 2020, Taman Dinosaur Encounter mula dibuka secara rasmi dan diiktiraf sebagai antara taman dinosaur buatan terbesar di rantau Asia Tenggara[39]. Walau bagaimanapun, taman ini tidak dibuka untuk dilawati pada waktu malam kerana faktor keselamatan[40].

Pembangunan taman tema ini bermula pada tahun 2020[41] selepas Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menandatangani perjanjian kerjasama dengan dua syarikat swasta, WeGrow Global Sdn. Bhd. dan Wildlife Concepts Consultancy Sdn. Bhd.[41]. Melalui kerjasama ini, syarikat WeGrow Global Sdn. Bhd. membangunkan sebuah taman "Dinosaur Encounter"[42] dengan kos pelaburan sebanyak RM12 juta[42]. Tapak Mini Safari berkeluasan 5 ekar dijadikan lokasi Taman Dinosaur Encounter[41]

Pencahayaan di dalam Gua Reptilia.

Gua Reptilia

Gua Reptilia atau Reptile Cave ialah sebuah gua buatan yang menempatkan pelbagai jenis haiwan reptilia[43]. Terdapat sebanyak 18 spesis haiwan ditempatkan seperti panther chameleon dan mengkarung lidah biru yang dipamerkan dalam gua buatan ini[44]. Pencahayaan di dalam gua ini menggunakan sensor di mana lampu-lampu akan menyala jika ia mengesan pergerakan pengunjung[44]. Gua Reptilia merupakan salah satu lokasi yang boleh dilawati pada waktu malam dan semasa Tahun Melawat Melaka 2024 melalui Program Melaka Bila Larut Malam[45].

Aviari Burung

Aviari Burung ialah sebuah taman mini di Zoo Melaka yang menempatkan sebanyak 70 ekor burung nuri dari dua spesis iaitu Parakeet Matahari (Aratinga solstitialis) dan keluarga Loriinae[46]. Terdapat juga sepasang burung cenderawasih dan 8 ekor haiwan bukan burung dari keluarga Walabi[46] yang dibiakkan di Johor menggunakan baka yang berasal dari Belgium dan Australia[47]. Jabatan Zoo Melaka juga membina sebuah gua bagi menempatkan sebanyak 20 ekor burung dari keluarga Toco Toucan (Ramphastos toco) yang berasal dari benua Amerika Selatan[48]. Kos untuk mendapatkan seekor burung ini dianggarkan berjumlah RM30,000[48].

Antara aktiviti yang dilakukan di taman ini ialah Aviary Feeding atau memberi makan dan minum kepada burung di situ dan menikmati hidangan berat di Kafe Wildlife yang terletak di pintu masuk taman[49]. Zoo Melaka menetapkan harga RM6 seorang bagi pengunjung yang berhasrat untuk masuk ke Aviari Burung[49].

Safari malam

Jumlah pengunjung Zoo Melaka semasa
Program Melaka Bila Larut Malam 2024
Tarikh Bilangan
1 Jun
  
4,012[50]
13 Julai
  
847[51]
3 Ogos
  
891[52]
31 Ogos
  
732[53]
Tidak termasuk jumlah pada waktu siang

Setakat Mei 2024, kira-kira 200 ekor haiwan daripada 60 spesis di Zoo Melaka merupakan haiwan nokturnal[54], iaitu haiwan yang aktif pada waktu malam seperti dari spesis zirafah, kuda belang, harimau bintang dan gajah[55]. Pengurusan Zoo Melaka memperkenalkan program zoo malam bermula pada tahun 2004[26] di mana zoo dibuka pada waktu malam kepada pengunjung sebagai pendedahan kepada tabiat dan aktiviti yang dilakukan haiwan nokturnal ini[56]. Namun begitu, tidak semua kawasan di dalam zoo yang boleh dikunjungi atas faktor keselamatan.

Pada tahun 2024, Zoo Melaka menjadi antara destinasi pelancongan pada waktu malam bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 di bawah Program Melaka Bila Larut Malam[54]. Di bawah program ini, zoo dibuka pada orang ramai bermula pukul 9.30 malam sehingga 1 pagi hanya pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan serta penawaran harga tiket yang lebih rendah. Zoo Melaka juga menawarkan perkhidmatan trem dan bas elektrik dan ia mengambil masa kira-kira 30 minit bagi melengkapkan satu perjalanan di dalam zoo[57]. Selain itu, beberapa persembahan haiwan juga diadakan semasa berlangsungnya program ini[55].


Pengurusan haiwan

Dibawa masuk

Beberapa ekor haiwan dari spesis Banteng sedang berehat di Zoo Melaka.

Sepanjang pengoperasi Zoo Melaka sehingga kini, pihak pengurusan menambah bilangan spesis dan jumlah haiwan di dalam zoo dengan cara membawa masuk dari luar. Haiwan-haiwan ini dibawa masuk dengan kaedah pengimportan, pemberian daripada individu atau syarikat atau di bawah program khusus seperti pemeliharaan spesis terutamanya spesis yang terancam atau program pertukaran.

Pada bulan April 1966, pengurusan Zoo Melaka menerima sumbangan sepasang haiwan burung angsa hitam (Cygnus atratus) daripada Kerajaan Negeri Victoria, Australia[2][58]. Haiwan itu dihadiahkan kepada Zoo Melaka kerana Gabenor Melaka pada ketika itu, Tun Haji Abdul Malek bin Haji Yusuf pernah menyatakan minat terhadap haiwan ini semasa kedatangan delegasi kerajaan Victoria ke Melaka pada tahun 1965[58].

Pada tahun 1984, spesis jarang ditemui iaitu seekor badak Sumatera betina berusia 10 tahun telah dijumpai di dalam hutan dan haiwan ini telah diletakkan di Zoo Melaka[59]. Badak ini kemudian diberi nama "Jeram"[59]. Pada tahun 1985 pula, sebuah fasiliti untuk badak sumbu telah dibina di dalam zoo bagi tujuan menggalakkan pasangan spesis ini melakukan pembiakan[60].

Seekor zirafah dari spesis terancam yang berasal dari Tanduk Afrika di Zoo Melaka.

Pada bulan Januari 1990, pengurusan kedua-dua Zoo Melaka dan Zoo Los Angeles di Amerika Syarikat melakukan pertukaran haiwan, di mana Zoo Los Angeles menghantar dua ekor anak seladang (Bos gaurus) yang merupakan salah satu daripada spesies terjejas ke Zoo Melaka[61]. Anak seladang ini dilahirkan hasil pembiakan yang dilakukan di Zoo Los Angeles itu sendiri. Manakala, Zoo Melaka pula menawarkan dua ekor gajah liar yang dipelihara selepas haiwan ini diselamatkan oleh pihak berkuasa[61].

Pada bulan September 1999, Zoo Melaka menerima enam spesis baharu daripada Zoo Singapura di bawah program pertukaran haiwan[62]. Enam spesis baharu ini ialah sepasang kambing oryx (Oryx gazella), sepasang kambing Mouflon (Ovis musimon), sepasang Himalayan tahr (Hemitragus jemlahicus), sepasang kucing ikan (Prionailurus viverrinus), sepasang spesis Serval (Leptailurus serval) dan seekor kucing hutan betina (Felis chaus)[62].

Pada bulan Mei 2002, Zoo Melaka menerima dua pasang panda merah (Ailurus fulgens) yang dihantar oleh Taman Safari Panyu di Guangzhou, China[63]. Pada ketika itu, Zoo Melaka merupakan satu-satunya lokasi di Malaysia yang memiliki spesis terancam itu[64], dengan kesemua haiwan itu dinamakan sebagai Ling Ling, Mei Ping, Ling Ping dan Mai Ping[63]. Selain panda merah, Zoo Melaka juga menerima dua pasang antelop dari jenis bonteboks Afrika Selatan (Damaliscus pygargus)[63].

Rancangan pembiakan

Zoo Melaka menjalankan beberapa program untuk memastikan kelangsungan spesies yang terancam, seperti pembiakan dalam kurungan dan penyelidikan. Pembiakbakaan kurungan yang berjaya dijalankan di Zoo Melaka termasuk harimau belang, harimau kumbang, cipan, kambing gurun, kijang dan rusa.

Zoo Melaka pernah memiliki pameran Badak Sumatera (Dicerorhinus sumatrenesis) sebanyak dua ekor iaitu Sri Delima dan Jeram dan kemudiannya dipindahkan ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun ,Selangor[65].Badak Sumatera kini telah pupus dari negara Malaysia akibat pelbagai faktor termasuklah bawaan penyakit. [66]

Untuk info Harimau Malaya juga antara haiwan berjaya di biakkan di Zoo Melaka. Hasil kajian DNA ke atas lebih daripada 130 ekor harimau dan kulit harimau, Harimau Malaya (Panthera tigris malayensis) telah dikenal pasti dalam tahun 2004 sebagai satu sub-spesies keluarga harimau belang.

Sebagai contoh terdapat harimau bernama Mek Degong yang telah dihantar ke Zoo San Diego serta Chawang, seekor gajah Asia yang kini ditempatkan di Night Safari ,Singapura.

Zoo Melaka telah membiakkan lebih 40 anak Harimau Malaya dan telah dihantarkan ke zoo di Amerika Syarikat (San Diego), Jerman dan Australia serta lain-lain Zoo di Asia.[67]

Pandemik COVID-19

Pandemik COVID-19 yang tercetus pada tahun 2019 memberi kesan ketara kepada kehidupan seharian manusia. Ekoran daripada pandemik itu, kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada bulan Mac 2020 dengan arahan penutupan semua premis bukan keperluan, termasuklah Zoo Melaka[68]. Disebabkan sekatan pergerakan yang dilaksanakan dalam PKP, Zoo Melaka tidak dibenarkan dibuka kepada pengunjung dan menyebabkan tiada pendapatan diperoleh untuk diperuntukan kepada makanan dan kebajikan haiwan di sana[69].

Pada 4 April 2020, pengurusan Zoo Melaka melancarkan Tabung Sumbangan Zoo Melaka bertujuan bagi membolehkan individu dan syarikat korporat memberi sumbangan wang ringgit untuk menampung kos perbelanjaan makanan kepada haiwan[69]. Sebanyak RM180,000 sebulan diperlukan bagi menampung kos makanan untuk kesemua 650 ekor haiwan daripada 120 spesis yang terdapat di zoo[68]. Selain memberi makan, pekerja Zoo Melaka juga melakukan proses sanitasi dan pembersihan kandang setiap 3 atau 4 hari sekali[68]. Selain daripada sumbangan orang ramai, pengurusan Zoo Melaka juga mendapatkan bantuan daripada beberapa agensi kerajaan serta MPHTJ dengan kewangan yang terhad[70].

Pada 7 Jun 2020, kerajaan memutuskan untuk beralih ke fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan melonggarkan beberapa sekatan. Dalam fasa ini, Zoo Melaka dibenarkan untuk dibuka kepada pengunjung dengan harga tiket yang lebih rendah ditawarkan[71]. Bagi mengawal wabak COVID-19 di dalam zoo daripada merebak dan mencetuskan kluster, pihak pengurusan melaksanakan beberapa langkah pencegahan seperti hanya membenarkan seramai 500 pengunjung sahaja untuk dua sesi setiap hari iaitu sesi pagi bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga 12 tengah hari[72] atau sesi petang bermula pada pukul 2 petang sehingga 5 petang[73], mengambil bacaan suhu dan nombor telefon pengunjung[71] dan zoo ditutup sementara bermula pada pukul 12 tengah hari sehingga 2 petang bagi membolehkan proses sanitasi dan pembersihan dijalankan[73]. Aktiviti memberi makan kepada haiwan diadakan seperti biasa, namun pekerja zoo ditempatkan bagi memantau keadaaan[72].


Lihat juga


Rujukan

  1. ^ a b c d "Governor opens $60,000 Malacca State zoo". The Straits Times. 20 Julai 1964. m/s. 7. Dicapai pada 18 Ogos 2024.
  2. ^ a b c "Memberi makanan kapada orang2 miskin". Berita Harian. 8 April 1966. m/s. 6. Dicapai pada 16 Ogos 2024.
  3. ^ a b "ABOUT US". Zoo Melaka. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Jun 2006. Dicapai pada 6 September 2024.
  4. ^ a b Norafiqah Jamal (9 Oktober 2021). "Zoo Melaka catat 10 peratus tambahan haiwan". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Ogos 2022. Dicapai pada 15 Ogos 2024.
  5. ^ "Institutional Members". SEAZA. 14 Ogos 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Februari 2024. Dicapai pada 15 Ogos 2024.
  6. ^ Zahratulhayat Mat Arif (23 April 2020). "National zoological association appeals for public donation". New Straits Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Mei 2020. Dicapai pada 17 Ogos 2024.
  7. ^ Mohd Faiz Abu Hasan (19 Julai 2024). "Konservasi orang utan di Zoo Melaka". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Julai 2024. Dicapai pada 29 Julai 2024.
  8. ^ "zoo". www.britannica.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Julai 2024.
  9. ^ "MASUK PERCUMA DI MALAYSIA HERITAGE STUDIOS, 20 FEBRUARI INI". Majlis Keselamatan Negara Malaysia. 6 Februari 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Julai 2024. Dicapai pada 29 Julai 2024.
  10. ^ Zainal, Zahari; A, Mohd Tajuddin; Daim, Mohd Shariff; Yasak, Mohd Nawayai. "Introduction of the green peafowl (Pavo muticus muticus) in the vicinity of Zoo Melaka, Malaysia - a preliminary observation" (PDF). Journal Of Wildlife And Parks. 19 (Disember 2001): 1–5. Dicapai pada 29 Julai 2024.
  11. ^ RSN Murali (8 Mac 2024). "RM4mil allocated for upgrading Melaka Zoo, says MPHTJ president". The Star. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Oktober 2018. Dicapai pada 29 Julai 2024.
  12. ^ "Facelift for gateway to Melaka". The Star. 2 Januari 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Januari 2024. Dicapai pada 29 Julai 2024.
  13. ^ RSN Murali (5 Ogos 2023). "Sun bears at Melaka Zoo are real, says Melaka rep". The Star. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Januari 2024. Dicapai pada 29 Julai 2024.
  14. ^ Nor Farhana Yaacob (27 September 2021). "Ungka Tangan Putih lahir kembar dua, cipta sejarah di Asia". Sinar Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Ogos 2024. Dicapai pada 15 Ogos 2024.
  15. ^ Nursaliawati Salberi (7 Januari 2022). "Zoo Melaka perintis pembiakan Harimau Malaya". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Disember 2023. Dicapai pada 29 Julai 2024.
  16. ^ a b "Zoo bukan sekadar pusat pameran tapi pemeliharaan haiwan". Free Malaysia Today. 9 Februari 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 November 2020. Dicapai pada 15 Ogos 2024.
  17. ^ a b "Zoo Melaka tutup 2 minggu bagi proses tukar pengurusan". Malaysiakini. 1 Oktober 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Oktober 2018. Dicapai pada 29 Julai 2024.
  18. ^ "MPHTJ ambil alih Zoo Melaka, Taman Burung". Malaysiakini. 1 Oktober 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Oktober 2018. Dicapai pada 29 Julai 2024.
  19. ^ "Zoo Melaka sasar 5,000 pengunjung sempena program MBLM esok". Astro Awani. 31 Mei 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Mei 2024. Dicapai pada 29 Julai 2024.
  20. ^ a b Lazarus, Kevin (21 November 1996). "History of Malaysian Zoos with particular reference to Taiping Zoo". ZOOS' PRINT Communicating Science for Conservation. 11 (11 (1996)): 19. ISSN 0973-2543. Dicapai pada 17 Ogos 2024.
  21. ^ "UTK TAMAN BINATANG". Berita Harian. 22 Januari 1963. m/s. 7. Dicapai pada 23 Julai 2024.
  22. ^ "1,000-ACRE NEW PARK FOR MALACCA". The Straits Times. 27 Ogos 1962. m/s. 4. Dicapai pada 18 Ogos 2024.
  23. ^ "Zoo di-Ayer Keroh mula tarek pelawat". Berita Harian. 11 September 1964. m/s. 6. Dicapai pada 16 Ogos 2024.
  24. ^ a b "Malacca Zoo reopens after outbreak of poisoning". The Straits Times. 19 Oktober 1988. m/s. 12. Dicapai pada 26 Ogos 2024.
  25. ^ "Safe To Visit Malacca Zoo, Public Told". New Sunday Times. 18 Oktober 1988. m/s. 12. Dicapai pada 26 Ogos 2024.
  26. ^ a b c Shanti Gunaratnam (20 Ogos 2004). "Zoo-m in on night action". New Straits Times. m/s. 9. Dicapai pada 28 Ogos 2024.
  27. ^ a b c "Zoo Melaka untung RM130,000 tahun lalu". Utusan Malaysia. 2 September 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Februari 2012. Dicapai pada 29 Ogos 2024.
  28. ^ a b c "Perhilitan hands over Malacca Zoo to new management". New Straits Times. 1 Januari 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Januari 2013. Dicapai pada 27 Ogos 2024.
  29. ^ a b RSN Murali (22 Februari 2013). "230 Haiwan Didakwa Hilang Di Zoo Melaka". mStar. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 April 2024. Dicapai pada 27 Ogos 2024.
  30. ^ RSN Murali (23 Februari 2013). "Tiada Haiwan Hilang - Perhilitan". mStar. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Ogos 2024. Dicapai pada 27 Ogos 2024.
  31. ^ a b RSN Murali (27 November 2012). "Malacca Zoo to be privatised". The Star. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 November 2012. Dicapai pada 27 Ogos 2024.
  32. ^ R.S.N. Murali (29 September 2018). "Melaka Zoo due to return to state government management". The Star. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 September 2018. Dicapai pada 6 September 2024.
  33. ^ a b R.S.N. Murali (2 Oktober 2018). "Melaka takes over zoo and aviary park". The Star. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Disember 2018. Dicapai pada 6 September 2024.
  34. ^ a b "Decision soon on Melaka Zoo and Night Safari". The Star. 30 Ogos 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 September 2018. Dicapai pada 6 September 2024.
  35. ^ a b "MPHTJ takes over running of Malacca Zoo, Bird Park". The Sun. 1 Oktober 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 September 2024. Dicapai pada 6 September 2024.
  36. ^ Mohamad Fazrul Abdul Majid (24 Disember 2020). "Dinosaur Encounter di Zoo Melaka bakal cetus fenomena". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Disember 2020. Dicapai pada 17 Ogos 2024.
  37. ^ "Nur Syahirah's gigantic task of stitching 'wounded' dinosaurs". New Straits Times. 22 Julai 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Julai 2022. Dicapai pada 17 Ogos 2024.
  38. ^ Hassan Omar (27 Disember 2020). "'Seolah-olah melihat dinosaur hidup'". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Januari 2021. Dicapai pada 17 Ogos 2024.
  39. ^ Norizan Muhid (10 April 2021). "'Kenali raptor, T-Rex Zoo Melaka'". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Mei 2024. Dicapai pada 17 Ogos 2024.
  40. ^ Mohd Faiz Abu Hasan (7 Julai 2024). "Bila Larut Malam: Zoo Melaka pentingkan keselamatan, keselesaan pengunjung". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Julai 2024. Dicapai pada 17 Ogos 2024.
  41. ^ a b c "MPHTJ teams up with private firms to upgrade Melaka Zoo". Bernama. 12 Oktober 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Ogos 2024. Dicapai pada 15 Ogos 2024.
  42. ^ a b Liana Sahabudin (12 Oktober 2020). "Zoo Melaka tambah baik tarikan baharu mulai Disember". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Ogos 2022. Dicapai pada 17 Ogos 2024.
  43. ^ Mohd Faiz Abu Hasan (31 Januari 2022). "Gua Reptilia, mandi gajah tarikan baru Zoo Melaka". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Januari 2023. Dicapai pada 17 Ogos 2024.
  44. ^ a b Norafiqah Jamal (15 Ogos 2023). "Lawan ketakutan di Gua Reptilia Zoo Melaka". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 November 2023. Dicapai pada 17 Ogos 2024.
  45. ^ Norafiqah Jamal (4 Ogos 2024). "Program Melaka Bila Larut Malam: Zoo Melaka lebih meriah pada Edisi Ketiga". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Ogos 2024. Dicapai pada 17 Ogos 2024.
  46. ^ a b Nor Farhana Yaacob (11 Mei 2022). "Zoo Melaka perkenal tiga produk baharu pikat pengunjung". Sinar Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Jun 2022. Dicapai pada 18 Ogos 2024.
  47. ^ Norafiqah Jamal (11 Mei 2022). "'Kanggaru mini' dan aviary burung produk baharu Zoo Melaka". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Jun 2023. Dicapai pada 18 Ogos 2024.
  48. ^ a b Reza A Hamid (11 Mei 2022). "Zoo Melaka perkenal burung spesies Toto Taucan Disember ini". MalaysiaGazette. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Mei 2022. Dicapai pada 18 Ogos 2024.
  49. ^ a b "Pelbagai tarikan baharu bernilai RM5 juta menanti pengunjung Zoo Melaka". Bernama. 11 Mei 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Ogos 2024. Dicapai pada 18 Ogos 2024.
  50. ^ "Tiga Produk Baharu Ditambah Dalam Program Melaka Bila Larut Malam - Exco". Bernama. 11 Julai 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 September 2024. Dicapai pada 5 September 2024.
  51. ^ Norafiqah Jamal (14 Julai 2024). "Hampir 5,000 pengunjung ke lapan produk pelancongan Bila Larut Malam". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Julai 2024. Dicapai pada 5 September 2024.
  52. ^ Mohd Faiz Abu Hasan (4 Ogos 2024). "Melaka Bila Larut Malam Edisi Ketiga gamit lebih 10,000 pelancong". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Ogos 2024. Dicapai pada 5 September 2024.
  53. ^ Mohd Faiz Abu Hasan (2 September 2024). "MELAKA BILA LARUT MALAM 31 OGOS GAMIT LEBIH 10,000 PENGUNJUNG". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 September 2024. Dicapai pada 5 September 2024.
  54. ^ a b "Zoo Melaka sasar 5,000 pengunjung sempena 'Program Melaka Bila Larut Malam' esok". Daily Express. 31 Mei 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Mei 2024. Dicapai pada 5 September 2024.
  55. ^ a b "Zoo Melaka Sasar 5,000 Pengunjung Sempena Program Mblm Sabtu". Bernama. 31 Mei 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 September 2024. Dicapai pada 5 September 2024.
  56. ^ "Zoo Melaka". Tourism Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Ogos 2024. Dicapai pada 5 September 2024.
  57. ^ "Program Melaka Bila Larut Malam". Sinar Harian. 2 Jun 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 September 2024. Dicapai pada 5 September 2024.
  58. ^ a b "Black swans for Malacca State zoo". The Straits Times. 8 April 1966. m/s. 5. Dicapai pada 18 Ogos 2024.
  59. ^ a b "Rare Sumatra Rhino Found: Zoos From East To West Bid". Toledo Blade. 17 Jun 1984. m/s. 14. Dicapai pada 24 Ogos 2024.
  60. ^ "Project that will also help the seladang, banteng". New Sunday Times. 16 September 1985. m/s. 16. Dicapai pada 24 Ogos 2024.
  61. ^ a b Sue Reilly (12 Januari 1990). "Zoo swap may help save the ecosystem". The Tuscaloosa News. m/s. 5B. Dicapai pada 24 Ogos 2024.
  62. ^ a b "Malacca zoo receives six new species of animals". New Straits Times. 22 September 1999. m/s. 5. Dicapai pada 24 Ogos 2024.
  63. ^ a b c "Malacca Zoo gets two pairs of Chinese Red Panda". New Straits Times. 29 Mei 2002. m/s. 3. Dicapai pada 28 Ogos 2024.
  64. ^ "Ailurus fulgens". Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS). Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Mac 2023. Dicapai pada 29 Ogos 2024.
  65. ^ Kawanan badak Sumatera mati [1] Dicapai 30 September 2023.
  66. ^ Badak Terakhir Di Malaysia Mati [2] Dicapai 1 Oktober 2023.
  67. ^ Profil Mek Degong di Zoo San Diego - Mek Degong Dicapai 10 Ogos 2009.
  68. ^ a b c "Malacca Zoo creates fund for food supply". Malaysiakini. 11 April 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 April 2020. Dicapai pada 25 Ogos 2024.
  69. ^ a b Hassan Omar (3 Mei 2020). "Cabaran getir dalam kurungan". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Mei 2020. Dicapai pada 25 Ogos 2024.
  70. ^ Hassan Omar (8 Mei 2020). "Zoo Melaka harap sumbangan orang ramai". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Mei 2020. Dicapai pada 25 Ogos 2024.
  71. ^ a b Hassan Omar (11 Jun 2020). "Zoo Melaka kembali ceria". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Ogos 2020. Dicapai pada 25 Ogos 2024.
  72. ^ a b Nor Farhana Yaacob (10 Jun 2020). "Zoo Melaka benarkan 1,000 pengunjung sehari". Sinar Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Jun 2020. Dicapai pada 25 Ogos 2024.
  73. ^ a b "Zoo Melaka benarkan 500 pengunjung satu sesi". Berita Harian. 10 Jun 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Jun 2020. Dicapai pada 25 Ogos 2024.


Pautan luar

  • Tapak web rasmi
  • Zoo Melaka di laman rasmi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ)
  • Zoo Melaka di laman pelancongan Malaysia Truly Asia


  • l
  • b
  • s
Politik
  • DUN Ayer Keroh
  • Parlimen Hang Tuah Jaya
Kesihatan
Keagamaan
Pendidikan
Rendah
Menengah
Tinggi
Pelancongan
Rekreasi
Pameran
Jerayawara
Jalan / Lebuh raya